Selamat datang kepada semua pengunjung blog CUTE OVEN, SMALL KITCHEN. Diharap dengan kunjungan anda dapatlah kita berkongsi ilmu disamping menambah kenalan. Terima kasih atas kesudian bertandang ke sini.

Untuk makluman, di dalam blog ini sukatan cawan adalah menggunakan cawan metrik manakala sukatan sudu pula 98% adalah menggunakan sudu metrik.
Bagi yang sering bertanya apakah 'Tbsp' dan 'tsp'; 'Tbsp' = tablespoon & 'tsp' = teaspoon.

Saturday 30 July 2011

KRIM MENTEGA (BUTTER CREAM)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Resepi krim mentega ini Naz ambil dari buku Panduan Asas Menghias Kek tulisan kak Zati(Amaruszati Noor Rahim). Naz menggunakan resepi krim mentega ini untuk dekorasi kek swimming pool untuk hari jadi Husna hari tu.

Krim yang sangat halus kejadiannya dan mudah digunakan untuk dilepa pada kek. Ia boleh juga digunakan sebagai krim yang disapu pada permukaan kek untuk kek gulung. Sesiapa yang nak mencuba dipersilakan ye. Satu adunan resepi ini akan menghasilkan krim mentega yang banyak. Kalau nak buat sedikit, bahagi dua jumlah bahan-bahannya.

KRIM MENTEGA (BUTTER CREAM)
Sumber Resepi : Buku Panduan Asas Menghias Kek tulisan Amaruszati Noor Rahim

Bahan-bahan :
  • 500 gm krimwell
  • 200 gm lelemak sayuran (shortening)
  • 160 gm gula aising - diayak dua kali
  • 2 tbsp susu pekat manis (boleh diabaikan)
  • 1 tsp esen vanilla
  • 1/2 tsp minyak mentega (butter oil)

Cara-cara :
  1. Putar krimwell dan lelemak sayuran sehingga gebu (adunan akan bertukar menjadi warna putih). Masukkan susu pekat dan putar.
  2. Masukkan vanilla dan minyak mentega. Putar lagi.
  3. Kemudian masukkan gula icing dan putar hingga sebati.
  4. Siap untuk digunakan.
SELAMAT MENCUBA!

KEK PISANG LEMBAB (MOIST BANANA CAKE)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Inilah kek pisang lembab yang Naz buat untuk kek swimming pool bagi hari jadi Husna minggu lepas. Naz buat lagi sekali ni sebab Haris request nak rasa kek yang jadi kek hari jadi Husna hari tu. Cuma kali ni Naz buat tak ada deco-deco pun. Cuma kek togel je. 

Seperti yang telah diberitahu, kek ini memang sedap, lembut dan lembab je. Resepi yang ditungkil dari blog CMG. Okey, malas nak celoteh panjang-panjang. Layan mata dan tengok resepi saja ye.


KEK PISANG LEMBAB (MOIST BANANA CAKE)

Bahan-bahan:
  • 115 gm tepung gandum*
  • 1/2 tsp soda bicarbonate*
  • 1/2 tsp garam halus(* disatukan dan diayak)
  • 3 biji telur gred B
  • 1 tsp ovallate
  • 70 gm gula perang (brown sugar)
  • 120 ml minyak jagung (boleh guna minyak masak biasa)
  • 125 gm pisang rastali + 1/2 tsp esen vanilla (dilecek) - Naz guna pisang emas


Cara-cara :
  1. Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser tin dengan mentega, alas dasarnya dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar gula perang dengan ovallate hingga rata. Masukkan telur dan putar pada kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat. Masukkan pisang lecek tadi, putar rata.
  3. Pada kelajuan sederhana, masukkan tepung berselang seli dengan minyak jagung hingga habis, dimulai dengan tepung dan diakhiri dengan tepung juga. Putar hingga sebati.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang pembakar dan bakar selama 40 minit atau sehingga kek masak bergantung kepada oven masing-masing.
  5. Uji kek dengan mencucuk lidi sate di bahagian tengah kek, jika keluar bersih tandanya kek telah masak. Sejukkan kek di atas jaringan sepenuhnya sebelum dihias atau dimakan.

Friday 29 July 2011

PUDING KASIH BERTAUT




Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Resepi puding cuba jaya ni Naz buat untuk makan anak beranak sendiri di rumah dulu. Resepi dan bentuk asal boleh dilihat di sini : Puding Kasih Bertaut. Ada juga kawan-kawan yang telah mencuba resepi puding Naz yang sempoi ni. Terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan yang sudi mencuba. Macam-macam bentuk kejadian puding ni Naz tengok dari blog masing-masing. Semuanya cantik-cantik dan kreatif belaka.


Kali ini Naz buat untuk dibawa ke jamuan di tempat kerja hubby. Resepinya pun Naz ubah sikit supaya semua agar-agar dalam bahagian A digunakan sepenuhnya. Sebelum ini, kalau dapat sebiji puding ini, biasanya agar-agar bahagian A tu mesti ada lebih sikit yang tidak tercampur dengan agar-agar bahagian B. Jadi dengan resepi yang terkini ini, semua agar-agar bahagian A dapat digunakan sepenuhnya bersama dengan agar-agar bahagian B.


PUDING KASIH BERTAUT
Resepi Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan A :
  • 1/2 paket @ 2 tsp serbuk agar-agar (dari sepeket 10 gm serbuk agar-agar)
  • 300 ml air
  • 200 ml santan
  • 1/2 cawan gula
  • 1 biji telur
  • 2 atau 3 jenis pewarna dan perisa (kalau tak nak letak perisa pun tak pe, just pewarna)


Cara-cara :
  1. Masukkan serbuk agar-agar, gula dan air ke dalam periuk dan masak hingga gula dan serbuk agar-agar larut. Kecilkan api.
  2. Pecahkan telur ke dalam santan dan kocok sikit dengan garfu. Tuang ke dalam periuk berisi larutan agar-agar tadi dan kacau sebati dan masak hingga mendidih (beware! atas api perlahan tau!). Setelah mendidih, tutup api.
  3. Bahagikan larutan kepada 2 atau 3 bahagian dan masukkan pewarna dan perisa. Kacau sebati setiap bahagian dan tuangkan ke dalam mould yang anda suka. Biarkan ia keras di dalam peti sejuk.
  4. Setelah keras, keluarkan agar-agar dari mould atau kalau guna bekas yang besar sebagai mould tadi, potong agar-agar menjadi kiub-kiub kecil dan masukkan semua agar-agar ini ke dalam satu bekas lain yang lebih besar.


Bahan-bahan B :
  • 1 paket serbuk agar-agar 10 gm
  • 1 liter air
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 100 gm gula Melaka atau nise
  • 2 helai daun pandan (disimpulkan)

Cara-cara :
Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan masak hingga larut dan mendidih. Tutup api dan tapis larutan agar-agar.

Cara menyediakan puding :
Tuang larutan agar-agar B ke dalam bekas yang berisi semua agar-agar A / kiub-kiub agar-agar A tadi. Biarkan keras dan sejukkan ke dalam peti ais.

NOTA :
  • Untuk perisa tu, kalau tak nak letak pun tak apa. Cukup sekadar mewarnakan agar-agar di bahagian A itu dengan 2 atau 3 warna yang berlainan agar hasilnya nanti nampak cantik dan menarik.
  • Kalau tiada mould yang bentuk macam Naz di atas tu, guna loyang jer pun boleh untuk keraskan agar-agar bahagian A. Cuma lepas keras, potong agar-agar menjadi kiub-kiub kecil.
SELAMAT MENCUBA! 

 

 



Monday 25 July 2011

AWARD DARI TUN TELANI,, TERIMA KASIH^_^


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Award lagi...Kali ini dari adik Tun Telani (Life is a constant battle). Sampai terlupa ada orang bagi award pada Naz. Tu lah sebab jarang menjenguk blog gara-gara lappy sakit. Nasib baik tuan yang memberi tolong ingatkan..hehehe.. Jangan marah ye Tun.. Bukan tak sudi cuma tak ingat... Ni dah ambil ni... Terima kasih banyak-banyak sudi ingatkan akak. Jangan serik ye!

SWIMMING POOL CAKE: KEK PISANG LEMBAP (utk birthday Husna yg ke 6)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ini adalah hasil kerja tangan keras Naz untuk ulangtahun kelahiran Maizatul Husna yang ke 6. Hari lahir Husna sebenarnya pada 22 Julai. Tapi memandangkan tarikh tu jatuh pada hari Jumaat(cuti la ye di sini), jadi kek ini Naz buat untuk dibawa ke sekolah Husna pada hari Ahad(24 Julai). 


Kek yang Naz buat adalah kek pisang lembab yang dirujuk resepinya dari blog CMG. Satu adunan kek ni memang elok jer dapat kek yang bersaiz 6 ". Tak banyak adunan ni. Rasa keknya pun memang sedappppp sangat. Lembab dan lembut je.


Asalnya Naz bercadang nak buatkan Husna kek barbie doll tapi tak confident pula nak bermain dengan butter cream untuk mereka gaun barbie doll tu. Patung untuk kek barbie doll ni memang dah lama ada. Fikir punya fikir sambil merujuk buku Panduan Asas Menghias Kek tulisan kak Zati, akhirnya Naz buat keputusan untuk buatkan Husna kek yang bertemakan swimming pool ni. Naz jadikan buku kak Zati ini sebagai rujukan walaupun deco kek Naz ni tak 100% sama dengan deco kek yang kak Zati paparkan di dalam buku tu. Jadi inilah hasilnya.



Gambar kek yang dah dipotong pun lupa nak snap sebab sibuk berbual dengan cikgu Husna. Walaubagaimana pun, Naz tuliskan juga resepinya di sini. Cuma ada satu bahan yang Naz tak letak seperti di dalam resepi asal iaitu serbuk Nescafe.


KEK PISANG LEMBAP (MOIST BANANA CAKE)

Bahan-bahan:
  • 115 gm tepung gandum*
  • 1/2 tsp soda bicarbonate*
  • 1/2 tsp garam halus* (* disatukan dan diayak)
  • 3 biji telur gred B
  • 1 tsp ovallate
  • 70 gm gula perang (brown sugar)
  • 120 ml minyak jagung (boleh guna minyak masak biasa)
  • 125 gm pisang rastali + 1/2 tsp esen vanilla (dilecek) - Naz guna pisang emas

Cara-cara :
  1. Panaskan oven pada suhu 175C. Lenser tin dengan mentega, alas dasarnya dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar gula perang dengan ovallate hingga rata. Masukkan telur dan putar pada kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat. Masukkan pisang lecek tadi, putar rata.
  3. Pada kelajuan sederhana, masukkan tepung berselang seli dengan minyak jagung hingga habis, dimulai dengan tepung dan diakhiri dengan tepung juga. Putar hingga sebati.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang pembakar dan bakar selama 40 minit atau sehingga kek masak bergantung kepada oven masing-masing.
  5. Uji kek dengan mencucuk lidi sate di bahagian tengah kek, jika keluar bersih tandanya kek telah masak. Sejukkan kek di atas jaringan sepenuhnya sebelum dihias atau dimakan.
NOTA : 

  • Untuk butter cream, boleh rujuk resepi di SINI.


Birthday girl makan sampai 5 potong kek masa ni. Jarang Husna makan sekali banyak dalam satu waktu. Mungkin kerana deco yang lain dari biasa buat dia teruja untuk makan banyak. 

SELAMAT MENCUBA!

AWARD DARI TEMAN2 BLOGGER


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Hihihi..dapat award ni masa komputer buat hal beberapa minggu lepas. Jangan marah ye cikgu-cikgu.. Anak murid baru nak buat kerja sekolah ni. 

Award pemberian daripada Izah, Anna Qawina dan juga kak Anim. Terima kasih yer kawan-kawan semua. Minta maaf la sebab lambat sangat post di blog. Ambil awardnya dah lama tapi homework tak siap-siap. Itu yang lambat hantar kerja rumah. Kena rotan ke ni cikgu Izah, cikgu Anna dan cikgu Aznim?? Jangan rotan kuat-kuat ye. Rotan manja-manja je dah lah..hehehe...

7 perkara tentang saya yang rasanya anda tidak tahu :
  1. Tak suka bawa hand bag. Dari zaman anak dara lagi memang tak gemar pakai beg tangan. Tapi sekarang kena bawa sebab nak isi lampin Hani, tisu basah Hani, botol air Hani, tuala mulut Hani, pakaian kecemasan untuk Hani dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan Hani tapi bukan ummi Hani(ada juga lah selit sikit-sikit barang ummi Hani..hehehe). 
  2. Masa kecil dulu(darjah 1-3) selalu ikut arwah datuk naik basikal pada hari Jumaat pergi ke masjid. Ikut pergi sembahyang Jumaat tu. Tiap-tiap minggu pergi. Tapi ada satu hari tu, masa tengah duduk sementara tunggu mulanya sembahyang Jumaat, ada seorang atuk ke pakcik ni tegur, "Hei..Sembahyang kat sana" sambil menunding jari ke satu arah. Alaaaa..asal la pakcik ni??? Ada masalah dengan aku ker??? Tak faham betul... Bila dah besar sikit baru faham.. Laaaa..rupa-rupanya selama ni, aku gi sembahyang Jumaat kat tempat jemaah lelaki. Mana la tau.. Tengok atuk masuk kat area tu, aku pun ikut jer la..hahahaha.. Masa tu tak tau pulak yang lelaki dengan perempuan, tempat sembahyangnya berasingan. Patut la tak nampak budak pompuan lain..hihihiii.. Itu nasib baik aku tak ikut atuk sembahyang kat saff depan..huhuhhuuu..
  3. Masa belajar di IPTA dulu(lepas SPM), ada budak-budak lelaki(coursemate) panggil Naz kartun. Sabor je la.. Dia orang ni panggil macam tu sebab Naz suka jalan laju-laju.. Ni dia orang la kata. Udahnya, kena la jalan cepat-cepat kan. Dah la hostel dengan dewan kuliah..mak datuk...jauhnya..
  4. Tak reti pandu motor... Reti pandu kereta jer. Masa lepas SPM dulu, ambil lesan kereta. Bila dah lulus, ayah ada offer untuk ambil lesen motor pula tapi Naz tolak sebab memang rasanya tak retilah nak pandu motor tu... Rasanya macam akan jatuh jer bila bawa motor tu nanti.
  5. Ni berkisah pada memandu motor tadi. Masa di IPTA, ada sorang kawan perempuan ajar Naz cara nak pandu motor. Uh! Senang rupanya... Try la bawa.. Memang la jalan motor tu tapi yang tak tahannya, motor tu bergerak dalam keadaan senget. Maknanya tidak tegak di atas jalan raya. Macam condong sikit ke tepi. Ishhh.. Tak boleh aku ni bawa motor.. Tak pandai nak imbangkan supaya motor tu tegak...hahaha... kak Anim..kita samalah tak reti bawa motor..
  6. Dulu masa sekolah rendah, sebelah petang akan pergi sekolah agama kerajaan. Sekolah agama ni di kawasan masjid dekat dengan rumah. Ha! Masjid yang Naz selalu pergi untuk sembahyang Jumaat tu.. Sebelah masjid ni, ada sebatang sungai. Kalau hujan boleh tahan juga laju airnya. Ada sekali tu, masa waktu rehat, Naz dan beberapa orang kawan pergi main di tepi sungai ni. Lepas tu kasut salah sorang kawan ni terjatuh ke dalam sungai tu tapi tak dihanyutkan oleh air sebab tersangkut kat akar pokok di tepi sungai tu. Kita orang pun buatlah satu rantai tangan manusia (kita orang la) untuk ambil kasut tu. Yang Naz ni pula dengan baik hatinya menawarkan diri jadi rantai yang terakhir (yang paling hampir dengan sungai). Masa nak cekup kasut tu, dah nak dapat dah masa tu, entah macam mana kawan yang pegang tangan Naz tu terlepas pula pegangannya. Apa lagi.. Debushhhhhhh!!! Jatuh la budak Naz tu ke dalam sungai. Habis lencun... Kena la sound dengan ustazah bila masuk ke kelas. Balik rumah lepas habis sekolah tu, kena marah pula dengan emak. Entah sape yang dah report... Tapi Alhamdulillah...Allah tak nak ambil nyawa Naz lagi sebab beberapa tahun selepas tu, masa tu Naz dah sekolah menengah, ada sorang budak kampung Naz meninggal sebab lemas di sungai tu... Hiiiiii...Ya Allah! Terus teringat episod Naz jatuh ke dalam sungai tu. Patut la kena marah dengan mak dulu.
  7. Pernah pergi ke kilang pemprosesan khinzir(ba...alif...ba...ya) masa belajar dulu. Jadi dah pernah tengok bagaimana haiwan ni yang masih hidup dibunuh dan diproses.. Balik dari kilang tu terus mandi air tanah satu badan. Sebab ada yang dah tanya kat komen bawah tu, Naz bagi tau ye.. Ini salah satu rangka kursus course yang Naz ambil masa di IPTA tu.. Kena pergi tengok amali bagaimana haiwan tu diproses. Naz belajar bawah fakulti veterinar dulu..
Okey. Dah habis dah ceritera ceriteri kali ini. Harap cikgu-cikgu berkenaan boleh bagi saya markah kesian sebab hantar lambat kerja rumah...hehehe

TERIMA KASIH DIANA(SKY BLUE'S KITCHEN)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Award ni pemberian daripada Diana @ http://skybluemelleymey.blogspot.com. Terima kasih ye Diana atas ingatan Diana. Maaf juga sebab lama dah Diana bagi tapi baru sekarang dapat gantung di blog ni. 

Kena pas pula award ni kepada 8 orang lain. Naz tengok ramai juga yang dah dapat award ni. Jadi Naz senaraikan nama 8 orang blogger untuk menerima award ni. Harap sudi terima ye.. Kepada yang tak tersenarai harap tak berkecil hati sebab tak mampu pula nak check blog setiap orang samada dah dapat ke belum award ni. Sekiranya sudi, jemputlah ambil walaupun tiada nama di bawah^_^. 

  1. Lia http://cadaver89.blogspot.com/
  2. Bonda Ti http://lembarhatibonda.blogspot.com/
  3. Mama2Q http://qaisaraqaid.blogspot.com/
  4. Mamasya http://dapur-mamasya.blogspot.com/
  5. Nasya http://daridapurnasya.blogspot.com/
  6. Mawar merah http://notmyrecipehehe.blogspot.com/
  7. Yana http://yanashaiful.blogspot.com/
  8. Sari Yusa http://sariyusa.blogspot.com/



Saturday 23 July 2011

HOME MADE CHOCOLATE


 Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Lama sangat dah teringin nak buat coklat sendiri di rumah. Cuma masa saja yang bagai tidak mengizinkan. Tapi kali ini, berhasil juga hajat untuk buat sendiri coklat ni.


Naz buat pun tak banyak sangat. Baru kali pertama mencuba. Bila dah buat, baru tau betapa senangnya membuat coklat home made ni. Naz gunakan coklat kompoun jenama 'Colatta'. Jenama ini diimport dari Indonesia. Ada satu lagi jenis coklat kompoun ni iaitu coklat kompoun 'Beryl's'. Jenama ini pula adalah buatan Malaysia. 


Hajat di hati tu sebenarnya nak beli coklat "Beryl's" ni tapi, mak datokkkkk.. saiz tecik tak ada.. Semuanya 1kg. Dah la baru kali pertama nak cuba. Sebab malas nak menapak ke kedai alatan bakery yang lain, jadi Naz rembat jela coklat kompoun jenama 'Colatta' ni dengan berat 250 gm je. But the taste is good too. Husna siap cakap, "Emm..lagi sedap yang ummi buat la". Sebab sebelum ini, Husna selalu minta dibelikan home made chocolate yang ada dijual di pasar malam di kawasan rumah kami. Naz pun tak pernah rasa coklat tu (because I'm not a chocolate lover..hehehe). Lagi pun tak tau orang yang jual tu guna compound coklat ke atau cooking coklat sebab cooking coklat tu pun boleh juga digunakan untuk menghasilkan home made chocolate ni. Cuma dari segi rasa memang compound coklat ni lagi sedap. Macam rasa coklat-coklat berjenama yang dijual di kedai-kedai dan juga di pasaraya.


Ada tiga perisa coklat kompoun ni iaitu dark chocolate, strawberry chocolate dan white chocolate. Naz cuma beli dark chocolate dan juga strawberry chocolate. Dah tentulah yang strawberry chocolate tu untuk Husna. Tapi kalau kita gunakan white chocolate, kita boleh warnakan ia setelah dicairkan dengan apa juga warna yang kita inginkan. 

Untuk fillingnya, boleh guna apa saja yang kita suka seperti peanut butter, jam, kekacang, badam, almond, kismis atau apa saja. Cuma Naz tak letak filling tu untuk percubaan kali pertama ni. Lagi pun Husna memang tak suka coklat yang ada filling. Lagi satu reason, sebab nak cepat siap kerja sementara si kecil Hani tengah tidur masa projek ni..


HOME MADE CHOCOLATE
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • Compound chocolate (banyak mana nak guna bergantung kepada kehendak masing-masing)
  • Filling kesukaan - Peanut butter/ jam/ kekacang (roasted)/ kismis/ gajus/ badam - (option, tak letak pun tak apa)
  • Chocolate mould atau bekas silicon ais cube tu pun boleh



Cara-cara :
  1. Potong coklat kompoun menjadi kecil-kecil. Masukkan ke dalam periuk dan cairkan secara double boiler. Bila cair sepenuhnya. Tutup api.
  2. Masukkan ke dalam pipping bag atau boleh sudukan saja ke dalam mould. Paipkan atau sudukan ke dalam mould hingga penuh dan biarkan keras samada pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk. (Kalau guna pipping bag, nak bagi tau awal-awal ni. Coklat tu amat panas! Jadi hati-hati. Kalau rasa tak mau merasai kepanasan coklat tu, guna je sudu. Naz guna pipping bag sebab nak mudahkan kerja..kira iron lady lah ni sebab tahan panas..wakahkahkah..)
  3. Kepada sesiapa yang ingin meletakkan peanut butter atau kekacang ke dalam coklat ini, paipkan atau sudukan coklat suku atau separuh penuh saja di dalam mould. Kemudian letakkan filling yang anda gemari. Seterusnya paipkan atau sudukan coklat cair memenuhi mould. Kemudian keraskan coklat di dalam peti ais. Siap!
SELAMAT MENCUBA!

Thursday 21 July 2011

ROTI JALA


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Menjala pula kali ini. Tapi ini bukan menjala ikan tau! Ini menjala roti. Roti kirai yang dijala untuk dimakan oleh anak-anak. 

Naz pernah letak dah resepi ni dulu tapi masa tu kaler roti jala ni macam yang original. Warna kuning. Alat untuk menjala pun Naz guna yang tradisional punya. Ala acuan roti jala yang warna kuning tu.. Tapi kali ini, Naz menjala menggunakan botol tiga muncung yang fames sekarang ni. Memang lebih mudah kerja-kerja menjala ni. 


Botol muncung 3 ni Naz beli secara online dan tiba ke rumah secara pos. Dari mana nak dapatkannya??? Dari seorang kawan blogger iaitu Chik Mimi. Jadi kepada yang bertanya bagaimana rupa boto tu, seperti gambar di atas tulah. Untuk maklumat lebih lanjut boleh pergi ke blog Chik Mimi ni (~Aku Dan Kehidupanku~). Selain daripada botol muncung tiga ni, ada juga barang lain yang Chik Mimi boleh bekalkan. Nak tau apa dia..silalah ke dapur Chik Mimi yer..


ROTI JALA aka ROTI KIRAI

Bahan-bahan :
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan susu segar @ susu cair @ santan
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 biji telur
  • 1 tsp garam
  • Pewarna kesukaan

Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan kecuali tepung dan pewarna ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati.
  2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit dan kisar lagi setiap kali menambah tepung hingga sebati (tujuannya adalah untuk mengelakkan dari berketul-ketul).
  3. Masukkan pewarna dan kisar seketika supaya warna sekata.
  4. Tuang atau masukkan adunan ke dalam botol muncung tiga.
  5. Panaskan kuali leper tidak lekat (non stick pan) di atas api perlahan, paipkan adunan secara menegak dan melintang. Angkat apabila masak sepenuhnya. Proses ini sekejap saja untuk setiap keping roti jala. Tidak perlu diterbalikkan adunan yang telah dipaipkan. Buat sehingga habis semua adunan digunakan.
  6. Lipat roti jala mengikut bentuk yang anda inginkan.
  7. Hidang bersama kari ayam atau kari daging atau apa saja hidangan kesukaan anda.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 20 July 2011

KETAM SAMBAL TOMYAM

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ni kali ke dua masak ketam yang dibeli di Munduk hari tu. Hari tu dah buat kari ketam, so kali ni nak masak sambal pula. Sambalnya Naz letak perisa tom yam.

Puas betul makan ketam yang besar-besar macam ni. Isinya pun tebal. Di penyepit tu pun tebal juga isinya. Terasa kemanisam isi ketam ni sebab Naz tak simpan lama-lama di dalam peti. Emmmm...macam nak menitis pula air liur ni...hehehe... Teringat-ingat pula kesedapan ketam ni.


Haris bukanlah peminat makanan laut tapi bila tengok ketam ni, kalah juga dia. Banyak juga ketam yang Haris makan. Ayahnya lah yang tolong kopekkan. 


KETAM SAMBAL TOMYAM

Bahan-bahan :
  • 1 kg ketam (5-6 ekor)
  • 5 helai daun limau purut
  • 2 Tbsp pes tom yam 
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak untuk menumis

Bahan kisar :
  • 10 batang cili kering/ cili merah
  • 4 biji cili padi
  • 1 labu bawang besar
  • 4 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 5 batang serai
  • 1 inci halia

Cara-cara :
  1. Ketam disiang - Dibuang cengkerangnya, dipotong dua dan diketuk penyepitnya.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar. Biar hingga naik minyak dan garing. 
  3. Masukkan pes tom yam dan gaul rata.
  4. Masukkan ketam, garam dan gula serta daun limau purut dan gaul biar sekata. Tutup periuk dan biar ketam masak di atas api sederhana lebih kurang 5-8 minit. Boleh letak sikit air kalau takut hangus tapi tak perlu banyak sangat sebab air dari ketam akan keluar. 
  5. Buka tudung periuk dan gaul lagi. Rasakan garamnya. Tutup api dan sedia untuk dihidang.
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday 19 July 2011

KARI KETAM & SHOPPING DI MUNDUK, THAILAND

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Hari Jumaat 2 minggu lalu, Naz dan hubby pergi ke Munduk. Munduk ni dah termasuk di kawasan atau daerah Thailand. Kami pergi ke sana dibawa oleh makngah dan juga ayahngah (mak sedara dan bapa sedara belah hubby). Perjalanan ke sungai yang memisahkan Munduk dengan bumi Malaysia tu cuma 30 minit jer.

 Husna sempat berposing di atas sampan untuk ke Munduk.

Nak ke tanah Thailand tu, kena menyeberangi satu sungai. Sungai ni tak lah besar sangat tapi kena naik sampan juga lah. Takkan lah nak berbasahan berenang-renang ke tepian..hehehe.. Besar/ lebar sungai tu lebih kurang 200 meter jer. Besar lagi padang bola sepak. Sampan yang  kita orang naik tu diperbuat daripada kayu tapi ada enjin bot tau. Tak sempat laju pun sampan tu dah sampai ke tebing sana. Masa pergi tu bawa Husna dan juga Hani. Naik bot di tanah Malaysia, dan turun di tanah Thailand. Turun dari bot je dah terus pijak ke tapak jual beli tu.

Gambar ni Naz ambil di tebing sungai di bumi Malaysia lagi. 
Seberang sana tu dah masuk kawasan Thailand. Di atas tebing tulah orang berjual-beli. 
Ramaiiiiiiii sangat orang.

Apa lagi. Meronda la di pasar tu. Punyalah ramai orang yang kebanyakannya orang Malaysia..hehehe... Orang di sana pun berjual beli menggunakan matawang kita. Jadi tak ada masalah nak kena tukar duit kita kepada matawang mereka.

Barang-barang di sana boleh dikatakan murah-murah juga. Hubby beli buah manggis dengan harga RM10 untuk 5 kg, buah mata kucing - RM4  untuk 1 kg, buah dokong - RM2.50 untuk 1 kg. Yang buah mata kucing tu, harga tu tak de lah murah sangat tapi buah dia...mak datokk... busat-busat(besar-besar) ooo.. Manisssss pulak tu. Puaslah Husna makan sampai kekenyangan. Rasa macam nak borong semua benda tapi mana la cukup tangan dan tenaga nak pikul semua barang tu nanti. Lagi pun ini first time pergi..lebih kepada cuci mata jer..hehehe.. Bahagian kedai-kedai yang berderet-deret pun tak sempat nak masuk. Nanti bila poket agak-agak dah kembung, nak pergi lagi sekali (uihhhh..dah berangan nak perabis duit ni..^_^).

Oh lupa pula. Ayahngah belikan 1 kg laksa  untuk kita orang. 1 kg laksa tu dijual dengan harga RM 3.50. Laksa basah tu dah ada kuah santannya sekali tapi tak ada la ulam-ulamnya. Murah tak?  Macam tak percaya pun ada juga masa tu.


Kali ni pergi cuma beli barang-barang basah je. Ketam pun kita orang beli. Harganya RM14 untuk 1kg. Beberapa minggu sebelum tu, masa makngah dan ayahngah pergi untuk kali pertama, dia orang beli ketam dengan harga RM10 sekilogram!! Ketam-ketam tu besar-besar pulak tu.. Beli 2 kg dapat 11 ekor ketam. Teringin juga nak beli ikan yang murah-murah di sini tapi memikirkan peti aisku yang kecil je tu, tak dapek la den mombolinyo haaa.. Kang nak sumbek kat mano lak ikan-ikan tu..huhuhu...

Kalau siapa-siapa yang nak bershopping di sini, bawalah body guard yang gagah perkasa ye untuk tolong pikul barang-barang shopping. Kalau dapat bawa lebih dari seorang body guard lagi bagus...heheheee..



Separuh daripada ketam yang dibeli, Naz masak kari. Hubby kata nak ratah je. Jadi kari ketam ni memang Naz buat tak banyak kuahnya. Sekadar perisa untuk ketam tu.

KARI KETAM
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan :
  • 1 kg ketam (5 - 6 ekor)
  • 5 ulas bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 sudu teh rempah campuran (yang sepeket tu dah dicampur-campur biji sawi, jintan manis, jintan putih, halba dll)
  • 3 sudu besar rempah kari ikan (dibancuh dengan sedikit air menjadi pes)
  • 1 cawan santan
  • 1/2 cawan air
  • 1 pelepah daun kari
  • Garam

Cara-cara :
  1. Ketam disiang, dibuang cengkerangnya, dibelah dua, diketuk sedikit penyepitnya dan dibasuh. Toskan.
  2. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan tumbuk ini bersama rempah campuran hingga naik bau.
  3. Masukkan pes rempah kari dan daun kari. Biar hingga pecah minyak.
  4. Masukkan air dan gaul rata. Masukkan ketam dan gaul rata lagi. Kecilkan api kepada sederhana dan tutup periuk. Biar mereneh selama 5-7 minit agar ketam masak sepenuhnya.
  5. Buka tudung periuk dan masukkan santan serta garam. Rasakan masinnya. 

Ni gambar Husna di atas sampan menuju balik ke tebing Malaysia..hehehe.. Kepanasan dah masa ni.

SELAMAT MENCUBA!

KEK KEJU DINGIN KLASIK (CLASSIC CHILLED CHEESE CAKE)


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Kek keju dingin klasik ni Naz buat untuk jiran sebelah rumah(Nor). Dah lama juga Nor minta buatkan kek ni cuma katanya bila Naz ada masa. Tertangguh-tangguh tunggu masa yang sesuai akhirnya dapat juga memenuhi permintaan dia. Anak sulung Nor suka sangat makan kek keju. Dia lebih suka kek keju yang original/ klasik yang tidak diletak apa-apa perisa. Jadi inilah hasilnya dari tangan aunty Naz.

KEK KEJU DINGIN KLASIK (CLASSIC CHILLED CHEESE CAKE)

[A] Lapisan Bawah
Bahan-bahan :
  • 150 gm biskut chips more
  • 2 Tbsp butter (dicairkan)

Cara-cara :
  1. Hancurkan biskut dan gaul dengan butter cair hingga sebati.
  2. Kemudian masukkan serbuk biskut ini ke dalam loyang spring foam atau loyang biasa yang telah dialas dengan aluminium foil di bahagian dalam loyang iaitu di dasarnya serta di dinding loyang. Biarkan terjuntai sikit dari loyang tu ke luar. Ratakan dan tekan serbuk biskut biar mampat dan kemas di dasar loyang. Masukkan ke dalam peti ais.


[B] Lapisan Kek Keju
Bahan-bahan :
  • 250 gm krim keju
  • 60 gm gula kastor
  •  1 1/2 Tbsp gelatin halal + 4 Tbsp air panas - sejukkan
  • 200 ml krim putar (dairy whipping cream)
  • 2 Tbsp jus lemon

Cara-cara :
  1. Pukul krim putar hingga kembang dan bertanduk(soft peak). Simpan di dalam peti ais.
  2. Di dalam mangkuk lain, putar krim keju bersama gula kastor hingga berkrim.
  3. Masukkan bancuhan jus lemon dan putar lagi hingga sebati.
  4. Masukkan bancuhan gelatin dan putar hingga sebati lagi.
  5. Keluarkan krim putar di (1) tadi dari peti ais. Masukkan 1/3 bahagian ke dalam mangkuk krim keju. Kaup balik dengan spatula hingga rata. Masukkan lagi 1/3 bahagian krim putar dan gaul lagi hingga sebati. Dan seterusnya masukkan lebihan krim putar yang tinggal dan gaul hingga betul-betul sebati.
  6. Tuang adunan kek keju ke dalam loyang yang telah ada lapisan biskut tadi. Ratakan adunan di dalam loyang.
  7. Simpan di dalam peti ais sekurang-kurangnya 3 jam sebelum boleh dipotong.
  8. Sekiranya menggunakan loyang biasa yang telah dialas dengan aluminium foil, angkat kek bersama aluminium foil dengan cermat dan keluarkan dari loyang. Letakkan ke atas bekas/ lapik yang sesuai. Jangan risau kek pecah kerana kek keju yang telah disejukkan sepenuhnya, tidak mudah pecah semasa proses mengeluarkannya daripada loyang.
SELAMAT MENCUBA!

Friday 15 July 2011

APAM TEPUNG GANDUM


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ni dapat update blog bukan sebab lappy dah sembuh yer. Ni menumpang lappy adik ipar(BIL) sebenarnya. Jadi kepada kawan-kawan yang ada memberi award dan tag, minta maaf banyak-banyak.. Belum sempat nak ambil dan buat tag. Maklumlah.. Pinjam harta orang ni tak boleh simpan lama-lama. Dapat masukkan satu entry pun dah kira satu rahmat dari Allah SWT.

Apam tepung gandum ini sangat mudah untuk disediakan. Semua bahan-bahannya dimasukkan sekali gus dan dipukul hingga kembang dan sebati. Kali terakhir Naz buat apam ni dulu sewaktu belum ada blog ni lagi. Anak-anak Naz suka apam ni sebab Naz suka warnakan dengan pelbagai warna adunannya. Dia orang ni kalau makan tak letak kelapa parut pun. Habis licin apam ni walaupun dah sejuk apam tu


Ikutlah kreativiti masing-masing yer bila nak warnakan adunan apam ni. Nak buat kombinasi warna macam apam yogurt yang terkenal tu pun boleh.

APAM TEPUNG GANDUM

Bahan-bahan :
  • 150 gm tepung gandum
  • 100 ml cecair (air biasa @ susu segar @ susu cair @ campuran cecair-cecair ini)
  • 100 - 130 gm gula kastor (ikut la kemanisan yang dikehendaki yer)
  • 1/2 tsp baking powder
  • 1/2 tsp asen vanilla
  • 1/2 tsp ovallete
  • 1 biji telur gred B
  • Pewarna yang digemari


Cara-cara :
  1. Masukkan semua bahan di atas kecuali pewarna ke dalam mangkuk pengadun dan pukul hingga kembang dan sebati. Boleh juga guna mesin pengisar(blender).
  2. Titiskan pewarna kegemaran atau boleh bahagikan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut warna kegemaran anda.
  3. Panaskan kukusan. Sementara itu sudukan adunan atau paipkan adunan(kalau guna pipping bag) ke dalam acuan untuk dikukus. Untuk mendapatkan apam yang mekar tersenyum seperti di atas, dinasihatkan agar menggunakan mangkuk cawan kertas yang diletakkan ke dalam acuan lompang atau acuan yang sama besar dengan paper cup tu sebelum memasukkan adunan.
  4. Kukus adunan selama 10 minit di atas api kuat.
  5. Boleh dimakan bersama kelapa parut muda sekiranya suka.
SELAMAT MENCUBA!

Wednesday 13 July 2011

PUDING AISKRIM

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Ok entry kali ini kena buat seringkas yang mungkin sementara boleh guna komputer di office hubby ni, kenalah cepat-cepat update entry yang dah tertangguh dek kerana lappy Naz yang tengah sakit ni.

Resepi Puding Aiskrim ni Naz dapat dari seorang kawan (MIRA) yang sama tempat kerja masa Naz kerja dululah. Resepi asal menggunakan sukatan TAHIL untuk berat agar-agar tali yang digunakan. Untuk ukuran bahan-bahan yang lain, dalam resepi asal menggunakan sukatan gelas. Jadi Naz cuba mengukur dan menukar sukatan-sukatan ini kepada sukatan yang standard supaya mudah untuk dirujuk di kemudian hari. Kuantitinya juga telah Naz kurangkan kerana untuk 1 TAHIL agar-agar, boleh dapat jumlah puding yang sangat banyak. 


PUDING AISKRIM

Bahan-bahan :
  • 20 gm serbuk agar-agar
  • 200 ml susu cair
  • 4 biji telur gred B - diasingkan putih dan kuningnya
  • 1/2 cawan santan (125 ml)
  • 4 cawan air (1 liter)
  • 1 cawan gula
  • Pewarna merah dan kuning (atau boleh guna apa juga warna yang digemari)


Cara-cara :
  1. Masak serbuk agar-agar dan gula bersama air hingga larut. Kemudian bahagi 2 bahagian larutan ini.
  2. Campurkan kuning telur bersama susu cair dan santan di dalam sebiji mangkuk. Pukul hingga kembang dan sebati. Kemudian masukkan adunan telur ini ke dalam salah satu larutan agar-agar tadi bersama pewarna kuning. Kacau di atas api seketika. Tuang larutan ke dalam loyang atau acuan. Masukkan ke dalam peti sejuk.
  3. Sementara itu, pukul putih telur hingga betul-betul kembang dan berbuih(soft peak). Panaskan baki larutan agar-agar tadi. Masukkan putih telur yang talah dipukul hingga kembang tadi bersama pewarna merah ke dalam larutan agar-agar. Kacau seketika di atas api. (Boleh juga dibuat begini : Larutan agar-agar yang telah dipanaskan di atas api tadi, dicurahkan ke dalam mangkuk berisi putih telur yang telah kembang dan kacau rata).
  4. Seterusnya tuang larutan ini ke dalam loyang yang telah berisi larutan agar-agar kuning tadi. Keraskan sepenuhnya di dalam peti sejuk.
Sedapppppp sangat puding aiskrim ni. Bila Husna makan terus dia kata "Eh ummi! Ada bunyilah bila Husna gigit yang warna merah ni. Sedap.. Boleh tak ummi buat yang warna merah ni banyak-banyak lain kali..".

Memang bila digigit lapisan yang bewarna merah tu, akan terhasil bunyi.. Macam mana bunyinya tu, kenalah cuba sendiri buat puding ni dan makan ye.

Terima kasih ye MIRA kerana berkongsi resepi yang sedap sangat ni.

NOTA :

  • Untuk lapisan agar-agar dengan putih telur tu(bewarna merah), bila dicampurkan dan digaul, memang nampak macam tak sebati sebab ada lapisan cecair dan ada lapisan buih-buih. Jangan risau. Memang begitu kejadiannya. Cuma pastikan digaul rata agar buih-buih tu semuanya terkena cecair agar-agar ye!
Beginilah rupa bebuih dari lapisan agar-agar dengan putih telur.

SELAMAT MENCUBA!


Wednesday 6 July 2011

SAMBAL BELACAN BUAH BACANG


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Buah bacang ke buah macang?? Emmm.. mana-mana pun tak apalah kan. Tapi Naz memang selalu panggil buah bacang. Tengah musim buah ni sekarang di sini. Merata-rata nampak buah ni dijual. Memang dah lama tunggu buah ni ada. Target untuk buat sambal belacan.

Ingat beberapa tahun lalu, masa Naz buat sambal belacan buah bacang ni. Kalau di luar, memang biasa kita jumpa orang buat sambal belacan menggunakan buah bacang yang dah masak tapi di sini, kebiasaanya orang buat sambal belacan pakai buah mangga yang muda. Masa buat tu, MIL ada di rumah Naz. Bila tengok Naz guna buah bacang yang dah masak untuk buat sambal belacan, terus je MIL kata "Eh! Guna buah yang masak???? Orang biasa guna yang putik Naz..". Naz pula dengan selamba cakap "Memang biasa Naz buat sambal belacan guna buah bacang yang dah masak. Di luar, biasa orang buat macam ni". (Hehehe..menantu yang tak mau mengalah...tapi jangan melawan tau! Berdosa!)

Jadi siap masak lauk, kalau tak silap Naz ayam goreng kicap masa tu, satu jenis hidangan sayur, Naz pun hidanglah dengan sambal belacan buah bacang tadi. MIL makan dulu. Wahhhh..lepas makan baru keluar ayat dari mulut MIL, "Sedap Naz. Mok tak pernah makan sambal belacan dengan buah pauh masak". Hihiihii.. Baru MIL tau kelazatan sambal belacanku. Yelah.. Dari kecil lagi Naz dah biasa makan sambal belacan yang diletak buah bacang masak. Bertambah-tambah nasi MIL makan hari tu bila terkena pukulan sambal belacanku..hehehe..

Jadi kepada yang ingin mencuba, dipersilakan. Buatnya seperti sambal belacan biasa je sebenarnya. Cuma ditambah dengan buah bacang ni dan seimbangkan rasanya.

SAMBAL BELACAN BUAH BACANG
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN


Bahan-bahan :

  • 1 biji buah bacang yang masak(sederhana besar)
  • 6 biji cili merah
  • 4-6 biji cili padi
  • 2 inci belacan - dibakar
  • Gula
  • Garam
  • Asam limau nipis/ limau kasturi

Cara-cara :
  1. Kupas kulit buah bacang dan cincang kasar isinya.
  2. Tumbuk cili merah, cili padi dan belacan bakar hingga mendapat teksture yang dikehendaki(sebab ada orang suka sambal belacan yang halus, ada juga yang suka cilinya masih kasar-kasar).
  3. Masukkan gula dan garam. Gaul rata. 
  4. Masukkan pula buah bacang yang telah dicincang kasar tadi. Gaul rata dan rasa masin dan manisnya biar seimbang.
  5. Perahkan jus limau nipis/ kasturi sekiranya suka atau perlu.
  6. Hidangkan.

NOTA :
  • Kepedasan tu boleh adjust ye.. Ikut la lidah masing-masing tahap kepedasannya..
SELAMAT MENCUBA!

Tuesday 5 July 2011

NENAS BOMBAY aka NENAS TUMIS AIR

 

Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Teringat sewaktu kecil dulu, bila mengikut bonda dan ayahanda menghadiri jemputan kenduri kahwin, lauk ni la yang akan Naz cari dulu selain ayam masak merah. Suka sangat dengan lauk Nenas Bombay ni. Bila dah berumahtangga dan duduk merantau dulu, teringin pula nak makan lauk ni. Telefon la tanya pada bonda di kampung. Laaa..senang jer rupanya membuat Nenas Bombay ni.

Rasanya kebanyakan orang memang dah tau resepi ini. Resepi yang sangat mudah. Naz ni memang masak lauk yang mudah-mudah saja dan kurang masa berlama-lama di dapur. Takut tak sempat habis memasak, anak dara yang kecil tu dah menangis memanggil. Terbantut nanti projek memasak di tengah jalan.


NENAS BOMBAY aka NENAS TUMIS AIR
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 1 biji buah nenas - dikupas kulit, dibuang mata dan empulurnya
  • 1/2 batang lobak merah - dihiris nipis memanjang
  • 1 labu bawang besar* - dibelah 8 
  • 2 ulas bawang putih* - dimayang
  • 1 inci halia* - dimayang memanjang
  • 1 sudu kecil udang kering(optional)* - direndam dan ditumbuk halus
  • 2 inci kulit kayu manis*
  • 3 kuntum bunga cengkih*
  • 3 biji buah pelaga*
  • 1 kuntum bunga lawang*
  • 2 biji cili merah - dihiris 
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • 3 sudu besar gula pasir
  • Garam secukup rasa
  • 3/4 cawan air - boleh tambah ikut keperluan
  • Sedikit minyak masak untuk menumis

Cara-cara :
  1. Hiris buah nenas mengikut citarasa tapi jangan nipis sangat.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan yang bertanda * hingga wangi.
  3. Masukkan air, gula dan garam serta serbuk kunyit.
  4. Apabila mendidih, masukkan buah nenas, lobak merah dan juga hirisan cili merah. Kecilkan api dan biar mereneh seketika. Rasakan masin dan manisnya. Tutup api.
SELAMAT MENCUBA!

Monday 4 July 2011

ACAR TIMUN & NENAS


Assallamualaikum dan salam sejahtera.

Acar timun dan nenas ni, ada juga orang memaggilnya sebagai acar mentah. Membuatnya pun amat mudah. Potong-potong saja bahan-bahannya, campurkan dan gaulkan dengan gula, garam dan sedikit cuka. 

Okey terus saja kepada resepinya. 

ACAR TIMUN & NENAS
Oleh : Naz's CUTE OVEN, SMALL KITCHEN

Bahan-bahan :
  • 1/2 biji nenas masak- kupas kulit, buang mata dan empulurnya, potong kecil-kecil
  • 1 batang lobak merah- basuh dan hiris memanjang
  • 1 batang timun- basuh dan potong ikut suka
  • 1 labu bawang besar- hiris
  • 1 biji cili merah- hiris
  • 1 tbsp cuka
  • 2 tsp gula pasir
  • Garam

Cara-cara :
  • Campurkan semua bahan di atas dan rasakan garam dan gulanya. Hidangkan.
SELAMAT MENCUBA!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...